Sepasang kekasih yang mengelak dari pemeriksaan polis telah berjaya ditahan awal pagi semalam selepas melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan sejauh 130 kilometer di Johor.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam apabila anggota Balai Polis Bandar Datuk Onn bersama rakan setugas membuat Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan terbabit.
Ketika polis mengesan sebuah kereta jenis Proton Pesona dalam keadaan mencurigakan, suspek tiba-tiba mengundurkan kereta dan melanggar kenderaan polis sebelum melarikan diri.
Anggota kemudian meminta bantuan bilik gerakan IPD Johor Bahru Selatan (JBS), yang mana enam kereta peronda MPV dari IPD Johor Bahru Selatan dan empat kereta peronda MPV dari Johor Bahru Utara digunakan untuk mengejar suspek.
Suspek kemudian berjaya ditahan di Lebuhraya Utara Selatan dekat Ayer Hitam.
Hasil pemeriksaan mendapati pemandu adalah lelaki tempatan berusia 20 tahun manakala teman wanitanya berusia 18 tahun. Mereka melarikan diri kerana sedang berdua-duaan dan terkejut apabila peronda MPV menghampiri mereka.
Hasil semakan lampau mendapati kedua suspek tiada rekod jenayah atau kes berkaitan dadah.
Suspek direman empat hari hingga 21 Januari dan polis turut merampas Proton Pesona, telefon bimbit serta wang tunai RM168.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 (memandu secara melulu).
Sumber: Tiktok / HMetro