Selepas dilanda bencana gempa bumi, kawasan sempadan Turkiye-Syria mungkin akan berhadapan pula dengan kemunculan dan penularan penyakit berjangkit.
Demikian menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) yang berkata penyakit berjangkit itu boleh merebak melalui bawaan makanan, air dan jangkitan penafasan kepada mangsa yang terselamat yang berada di pusat pelindungan sementara.
Antara faktor yang menyebabkan penularan penyakit berjangkit adalah kekurangan sumber air bersih, kurang kemudahan sanitasi, kurang sistem penyejukan dan penyediaan makanan yang tidak sempurna. Malah ECDC meramalkan mungkin berlaku lonjakan kes taun, hepatitis A, norovirus dan rotavirus di kawasan terjejas untuk tempoh beberapa minggu akan datang ini.
Bagaimanapun penyakit berjangkit yang dinyatakan ECDC ini boleh dicegah dengan pemberian vaksin.
Selain mangsa bencana gempa bumi, para penyelamat dikawasan terjejas ini juga berhadapan dengan risiko tetanus akibat kecederaan dan luka terbuka disebabkan serpihan runtuhan.
Terdahulu, dua lagi gempa bumi dilaporkan berlaku di kawasan terjejas ini pada awal pagi Selasa, yang mana menyebabkan ratusan lagi penduduk terjejas dan sekurangnya lapan terkorban.
Sumber: Bernama