Seorang kanak-kanak telah kehilangan sebelah kakinya akibat digilis ketika mahu menyelamatkan seekor kucing di jalanan.
Kejadian berlaku apabila kanak-kanak berusia 13 tahun itu bernama Nabila Febrianti, cuba menyelamatkan kucing miliknya yang sedang bermain atas jalan raya berdekatan rumahnya di Sumatera Utara, baru-baru ini.
Ketika dia melintas jalan dan hendak menyelamatkan kucingnya itu, pada masa sama ada sebuah trak sedang melintasi kawasan berkenaan.
Tidak sempat mengelak, kaki kanak-kanak itu digilis trak berkenaan menyebabkan dia mengalami kecederaan parah.
Kanak-kanak itu segera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, namun terpaksa dirujuk ke pakar susulan daripada kecederaan parah dialaminya.
Menurut ibu mangsa, kecederaan itu terjadi pada bahagian kaki kanan Nabila, manakala kaki kiri hanya luka kecil.
Disebabkan kecederaan parah dan serius pada kaki kanannya, ia terpaksa dipotong oleh pihak hospital.
“Akibat digilis trak, kakinya mengalami kecederaan serius dan perlu dipotong,” ujar ibunya.
Pengorbanan kanak-kanak ini mendapat liputan meluas media tempatan di Indonesia, sehinggakan ketua polis turut melawatnya di hospital bagi memberikan semangat. Malah, kisah Nabila ini mendapat perhatian Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto yang turut menghulurkan bantuan rawatan kepada anak kecil ini kerana keberaniannya.
Sumber: Tribun News Medan