Juventus Juara Coppa Italia Kali Ke-14!

juventus juara coppa italia kali ke-14!


Juventus muncul juara Coppa Italia buat kali ke-14 dalam sejarah! Ini selepas Juve tumpaskan Atalanta 2-1 pada aksi final. Gol kemenangan Juve dijaringkan Federico Chiesa pada babak kedua.


Trofi tersebut juga memberikan perpisahan yang manis buat penjaga gol, Gianluigi Buffon yang akan meninggalkan pasukan itu hujung musim ini. Penjaga gol berusia 43 tahun itu telah menjulang trofi berkenaan sebanyak 6 kali dalam kariernya, 5 kali bersama Juve. 


juventus juara coppa italia kali ke-14!


Menariknya, Buffon telah menjuarai Coppa Italia bersama 2 generasi Chiesa! Pada 1999, Buffon bersam-sama Enrico Chiesa menjulang trofi tersebut ketika beraksi bersama Parma. Siapa sangka 22 tahun kemudian, Buffon akan membantu anak Enrico iaitu Federico pula menjuarai kejohanan sama.


juventus juara coppa italia kali ke-14!


Kejayaan Juve pagi tadi juga merupakan trofi pertama buat Andrea Pirlo sepanjang bergelar pengurus. Bekas pemain tengah Juve itu nyata gembira dengan kejayaan anak buahnya yang akan menamatkan musim ini dengan satu trofi. Pirlo bagaimanapun akui kejayaan itu tidak dapat menebus prestasi turun naik pasukannya musim ini. Dia berharap pengurusan Juve akan memberi peluang kepadanya untuk terus mengendalikan pasukan itu musim depan.


Juve tersingkir daripada Liga Juara-Juara musim ini pada pusingan 16 terbaik apabila seri 4 sama secara agregat dengan Porto namun tewas menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan. Dalam saingan Serie A pula, Juve berada di kedudukan ke-5 berbaki 1 perlawanan. 


Juve mendapatkan khidmat Cristiano Ronaldo pada 2018 dalam usaha untuk memenangi saingan Liga Juara-Juara namun masih gagal berbuat demikian. Paling hampir Ronaldo berjaya membimbing Juve untuk menjuarai saingan tersebut adalah pada tahun pertama dia menyertai pasukan itu apabila Juve tersingkir pada peringkat suku akhir kepada Ajax. Musim lalu, Juve pulang awal selepas gagal melepasi peringkat kumpulan.


juventus juara coppa italia kali ke-14!


Ada sedikit berita gembira buat Ronaldo. Kejayaan Juve menjuarai Coppa Italia ini melengkapkan senarai trofinya di Itali. Ronaldo telah menjulang trofi Serie A dan Piala Super Itali bersama Juve sebelum ini. Bintang Portugal itu juga telah melengkapkan senarai trofinya di Sepanyol dan England ketika menyarung jersi Real Madrid dan Manchester United sebelum berhijrah ke Juve.

 

Oleh: Karami Kamel