Pelakon Johnny Depp sekali lagi akan diwakili oleh peguam Camille Vasquez di mahkamah buat kali kedua.
Vasquez mencapai status selebriti ketika kes fitnah melibatkan Depp dan Heard yang menerima publisiti tinggi dibicarakan di mahkamah.
Kini, bersama rakan kongsi Brown Rudnick Randall Smith, peguam berusia 37 tahun itu bakal mempertahankan bintang Pirates of the Caribbean itu dalam tuntutan mahkamah berkenaa kecederaan peribadi yang difailkan terhadapnya oleh Gregg “Rocky” Brooks, pengurus lokasi filem City of Lies.
Menurut Independent, Brooks mendakwa bahawa Depp telah menumbuk dua kali di bahagian tulang rusuknya “dengan niat jahat dan kuat” sebelum mengatakan dia akan membayarnya AS$100,000 untuk menumbuknya sekali lagi di bahagian muka.
Insiden tersebut dikatakan berlaku pada April 2017.
Dalam dokumen mahkamah, Brooks dilaporkan turut mendakwa bahawa dia telah dipecat daripada filem terbabit selepas enggan menandatangani pelepasan yang mengetepikan haknya untuk menyaman atas kejadian itu.
Sementara itu, peguam Depp pula mengatakan bahawa pelakon atau defendan bersamanya memukul Brooks.
Bagaimanapun, mereka berhujah bahawa kecederaannya adalah disebabkan tujuan mempertahankan diri atau orang lain dan bahawa Brooks sendiri telah memprovokasi tindakan itu sehingga mengakibatkan kecederaan pada dirinya sendiri.
Perbicaraan untuk kes tersebut ditetapkan bermula pada 25 Julai di Mahkamah Tinggi Los Angeles County, Amerika Syarikat.
Vasquez dinaikkan pangkat menjadi rakan kongsi di Brown Rudnick selepas perbicaraan fitnah Amber Heard di Fairfax County, Virginia.
Sepanjang tujuh minggu mahkamah bersidang, peguam berusia 37 tahun itu menjadi perhatian orang ramai serta penyokong Depp yang mengikuti rapat perkembangan kes tersebut.
Sumber: [1]