Janna Nick Bakal Bina Pusat Tahfiz, Bernilai RM6 Juta

Pelakon dan penyanyi Janna Nick mendedahkan bahawa dia kini dalam proses perancangan membina pusat tahfiz.

janna nick bakal bina pusat tahfiz, bernilai rm6 juta

Pusat tahfiz yang bakal dinamakan sebagai Kompleks Tahfiz & Anak Yatim Nurul Jannah itu dijanga menelan belanja sekitar RM6 juta dan terletak di Kampung Bukit Kechil, Simpor, Kedah.

“Sebenarnya, sudah lama saya memasang hajat dan juga impikan untuk membangunkan sebuah pusat tahfiz dan anak yatim.

“Tak sangka peluang tu ada dan ia (kompleks tahfiz) akan dibangunkan secara bersama dengan AJK Masjid Kampung Bukit Kechil serta penduduk kampung.

“Berkenaan dengan lokasi pula, saya pilih Kampung Bukit Kechil kerana ia merupakan tempat saya membesar.

“Dalam masa yang sama, AJK masjid juga ahli keluarga saya sendiri,” kongsinya.

Tambah Janna, kos terbabit juga termasuk hasil sumbangan orang ramai yang berjumlah RM400,000.

“Kos yang telah dikeluarkan berkat sumbangan orang ramai berjumlah RM400,000, termasuk kos untuk pembelian tanah seluas kira-kira 8,000 meter persegi dan tambak tanah.

“Untuk jumlah keseluruhan pembinaan pusat tahfiz dan anak yatim pula ialah RM6 juta.

“Buat masa sekarang, kami baru ada RM500,000 dan jika cukup RM2 juta baru kami mulakan pembinaan,” katanya.

Menurut Janna, sekiranya sasaran kutipan itu berjaya dicecah, institusi tersebut dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

“Sekolah tahfiz ini dibina untuk pelajar sekolah rendah, bermula darjah satu hingga enam.

“Satu kelas boleh memuatkan 25 pelajar. Saya harap impian kecil ini mampu menjadi kenyataan,” kata Janna.

 

Sumber: [1]