Insurans merupakan satu skim caruman kewangan yang sangat penting. Namun mungkin masih ramai juga yang belum memiliki insurans nyawa dan juga insurans perubatan atas faktor-faktor tertentu.
Ada yang beranggapan wang simpanan di bank sudah cukup untuk masa depan di hari tua tanpa menjangka apa yang bakal terjadi kepada diri pada masa akan datang termasuklah kemalangan, kecelakaan atau kematian.
Disini, insurans memainkan peranan penting untuk meneruskan kehidupan dengan baik sama ada kepada si pencarum atau waris dan ahli keluarga.
Insurans nyawa atau hayat merupakan skim caruman kewangan yang perlu dibayar pada jumlah tertentu secara bulanan atau tahunan. Ia memberi manfaat dalam bentuk kewangan kepada tanggungan si pencarum sekiranya si pencarum itu meninggal dunia. Pendek kata, insurans nyawa bertujuan memberi bantuan kepada ahli keluarga yang terjejas aspek kewangan apabila pencarum itu meninggal kelak.
Sama seperti insurans nyawa, insurans perubatan juga dibayar pada jumlah tertentu secara bulanan atau tahunan, cuma bezanya ia memberi bantuan kewangan kepada si pencarum jika berlaku sebarang masalah kesihatan kepada si pencarum.
Objektif utama insurans perubatan ini adalah untuk membantu individu yang mungkin akan terjejas kemampuan untuk menjana pendapatan akibat masalah perubatan.
Namun, bukan semua jenis penyakit akan ditanggung kos rawatan dan ubatan oleh pihak insurans kerana ia bergantung terma dan syarat. Contohnya, pesakit penyakit kronik seperti kanser dan strok mungkin akan memerlukan anda untuk mencarum caruman lain iaitu insurans penyakit kritikal.
Maka adalah penting untuk kita tahu jenis polisi insurans yang kita miliki sama ada ia ada kedua-dua insurans ini atau sebaliknya.
Sumber: Hello Doktor