Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini mengingatkan orang ramai supaya tidak memuat turun sebarang fail daripada sumber yang tidak sah.
Pengguna telefon pintar, khasnya Android diingatkan untuk tidak memasang sebarang aplikasi dari APK (Android Package Kit) yang diperoleh daripada sumber tidak sahih selain Playstore dan App Gallery.
Ini adalah kerana terdapat laporan kehilangan wang mencecah berpuluh ribu ringgit disebabkan modus operandi jenayah komersial terkini yang menipu pengguna daripada fail APK yang dipasang pada telefon mangsa.
Hasil siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM, modus operandi bermula daripada iklan di media sosial seperti Facebook yang menawarkan pekerjaan dengan pulangan lumayan hingga mengaburi mangsa. Mangsa kemudian berhubung dengan suspek melalui pesanan WhatsApp dan meminta mangsa memasang aplikasi khas pada telefon pintar mereka.
Aplikasi itu dihantar melalui pautan khas, sebelum pembayaran dibuat mangsa melalui aplikasi berkenaan kononnya untuk proses pendaftaran. Ketika ini, penipuan secara phishing berlaku dimana suspek berjaya memperoleh akses SMS pada telefon bimbit mangsa.
Selang beberapa ketika, aplikasi yang dipasang itu menunjukkan ralat dan tanpa mangsa sedari, wang dalam akaun bank mangsa telah dipindahkan ke akaun yang tidak dikenali oleh suspek.
Anda dinasihatkan untuk tidak mendedahkan butiran perbankan pada laman web mencurigakan dan hubungi CCID Scam Response Center untuk pertanyaan lanjut.
Sumber: [1]