Jangan Percaya Berita Palsu, Ikan Talapia Selamat Dimakan!

Baru-baru ini tular satu hantaran di WhatsApp yang menyebut tentang bahayanya ikan talapia hinggakan ia tidak selamat dimakan dan kononnya boleh menyebabkan penyakit seperti kanser.

jangan percaya berita palsu, ikan talapia selamat dimakan!

Perkara itu mendapat perhatian Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) yang memaklumkan bahawa hebahan itu adalah palsu dan tidak benar.

jangan percaya berita palsu, ikan talapia selamat dimakan!

Menurut DOF, ikan tilapia adalah ikan yang diternak dengan pemberian makanan rumusan menggunakan sumber protein daripada ikan dan tumbuhan. Setakat ini tiada laporan secara spesifik berkaitan kesan negatif kepada manusia yang memakan ikan talapia.

 

"Tumbuhan ini telah digunakan secara meluas dalam makanan rumusan salmon, tilapia dan kap. Tiada laporan secara spesifik berkaitan kesan negatif kepada manusia yang memakan ikan tilapia yang telah diberi makan GM soya atau jagung oleh FAO (Pertubuhan Makanan dan Pertanian), CODEX dan USFDA (Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat).

"CODEX, WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan FDA sebagai organisasi yang bertanggungjawab, pasti menyedari kesan dan akibat sekiranya ikan tilapia tidak selamat kepada pengguna," menurut kenyataan itu.

 

Kenyataan DOF itu turut menyebut bahawa dakwaan bahawa ikan talapia adalah ikan tidak bertulang dan tiada kulit juga tidak berasas kerana ada negara yang menggunakan kulit ikan talapia untuk membuat dompet, tali, beg duit serta kasut.

jangan percaya berita palsu, ikan talapia selamat dimakan!

Dakwaan bahawa tilapia mengandungi "dioxin", iaitu sejenis bahan sampingan yang terbentuk melalui proses kimia, kenyataan itu memaklumkan ia boleh terhasil daripada kejadian semula jadi seperti letusan gunung berapi dan kebakaran hutan.

 

"Ikan yang diternak di dalam air yang tercemar dengan bahan ini akan menyebabkannya berkumpul di dalam isi ikan tersebut, tidak mengira sama ada ikan tilapia atau jenis ikan yang lain. Oleh itu, pemilihan kawasan ternakan yang bebas daripada bahan kimia ini penting untuk mengelakkan ia daripada tercemar dengan unsur bahaya.

"Jabatan Perikanan juga telah memantau 200 ladang akuakultur yang mempunyai sijil myGAP dan kawalan penyakit bagi menjamin kualiti pengeluaran sumber akuakultur negara," menurut kenyataan itu.

 

Justeru orang ramai dinasihatkan untuk tidak terpengaruh dengan hebahan palsu selain perkara seperti itu boleh menjejaskan industri akuakultur negara.

 

Sumber: Astro AWANI