Jangan Terkejut, Ini Jalan ‘Glow in The Dark’ Pertama Malaysia di Semenyih, Selangor

Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Langat telah menggunakan cat jalan ‘glow in the dark’ atau bercahaya dalam gelap, yang pertama seumpamanya di negara ini, di sebuah jalan di Semenyih.

jangan terkejut, jalan ‘glow in the dark’ pertama kini di semenyih, selangor

Projek inovasi baharu itu dijalankan di persimpangan Jalan Sg Lalang Batu 19 dan Jalan Sg Tekali Batu 16, Semenyih.

 

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi, penggunaan teknologi itu boleh membantu pengguna jalan untuk memandu pada waktu malam, menjadikan ia lebih selamat dan selesa kepada pengguna.

jangan terkejut, jalan ‘glow in the dark’ pertama kini di semenyih, selangor

"Malam ini kami daripada Kementerian Kerja Raya dan juga Jabatan Kerja Raya, bersama Ahli Parlimen Hulu Langat datang untuk melawat tempat yang dikatakan pilot projek, dimana garisan jalan ini, menggunakan teknologi baru, iaitu menggunakan cat yang lebih menyala apabila malam, lain daripada yang biasa digunakan itu.

"Jadi nampaknya memang ada kelainan daripada yang biasa itu, ia lebih nampak dalam gelap. Jalan yang tiada lampu, yang gelap ini boleh membantu pemandu dan pengguna jalan supaya mereka ini, lebih selamat dan selesa menggunakan jalan pada waktu malam", katanya.

 

Untuk permulaan, cat jalan ‘glow in the dark’ ini akan berada sepanjang 490 meter di kawasan berkenaan.

“Cat jalan yang "bernyala dalam gelap" ini adalah cubaan projek rintis kami dalam membawa inovasi ke dalam kejuruteraan jalan.

“Jika ada yang lalu nanti jangan pula 'terperanjat beruk' ya, walaupun kawasan ini sememangnya digelar 'Monkey Hangout'.

"Ini kordinatnya 3.093245,101.894864. Hati-hati memandu di jalan raya,” demikian menurut JKR Hulu Langat menerusi hantaran di Facebook.

 

Katanya lagi, pihak Kementerian akan melihat dan menilai lebih mendalam projek rintis ini untuk dilaksanakan dengan lebih menyeluruh kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

Sumber: JKR Hulu Langat / RTM