Mungkin bagi sesetengah orang, daun pokok ketapang kering tiada nilainya, namun siapa sangka daun ini membuatkan seorang pensyarah bergelar jutawan pada usia muda.
Dr Mohd Zulariffin Md Maarof membuktikan daun yang disangka sampah ini membuahkan nilai cukup lumayan apabila beliau berjaya menjualnya secara atas talian menerusi laman eBay.
Menurut pensyarah dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu, kehidupan 10 tahun lalu membuatkannya lebih kreatif untuk mencari duit poket lebih.
Ketika itu, gaji yang diperolehnya sebagai pembantu penyelidik tidak seperti yang diimpikan, membuatkannya cuba meneroka dunia eBay.
“Ketika itu saya sedang sambung belajar, jadi duit yang ada tak cukup untuk cover sara hidup. Bila saya tengok permintaan tinggi untuk daun ketapang atau Indian Leaf di eBay, saya jadi teruja.
“Sebab apa, banyak daun ketapang bersepah di kawasan kampus. Jadi, saya kutip dan bersihkan untuk dijadikan primary photo listing dalam eBay,” tulisnya yang memulakan jualan dengan bermodalkan RM8 je.
Apa yang mengejutkan, 90 peratus pembelinya datang dari Amerika Syarikat, menjadikan permintaan produk daun ketapangnya sangat tinggi secara atas talian.
“Alhamdulillah, memang laku keras jualan daun kering saya waktu itu dan dipendekkan cerita, proses ini berjalan hampir satu semester setiap hari.
“Sampailah tiba penghujung semester, bila buka akaun paypal, baki terlebih daripada cukup untuk bayar yuran kolej. Memang sangat berpuas hatilah,” tambahnya lagi.
Tambah beliau lagi, Malaysia beruntung kerana memiliki sumber alam semula jadi yang tiada di negara empat musim. Misalnya serbuk tongkat ali yang boleh mencecah harga RM17,000 menerusi pasaran di eBay.
Sumber: Sinarplus