India Dilapor Bergelut Wabak Bakteria Kebal Antibiotik

Sebuah hospital di India kini dilaporkan sedang bergelut dengan penularan wabak bakteria dipercayai kalis antibiotik.

 

Penularan wabak bakteria itu telah menyebabkan ruam pada kulit dengan simptom lain seperti radang paru-paru dan jangkitan saluran kencing.

 

Bakteria yang kalis antibiotik ini adalah disebabkan perubahan bakteria dari masa ke masa yang membuatkannya kebal terhadap ubat-ubatan.

india dilapor bergelut wabak bakteria kebal antibiotik

Menurut laporan, wabak bakteria itu dikesan secara meluas apabila pesakit luar dari kampung dan pekan kecil hadir ke Hospital Kasturba di Maharashtra dengan simptom seperti dinyatakan. Bagaimanapun pesakit-pesakit ini hadir tanpa membawa preskripsi dan tidak ingat jenis ubat yang pernah diambil, menyebabkan doktor sukar untuk mendapatkan rekod lampau terhadap rintangan antibiotik.

 

Doktor di hospital itu kemudian menjalankan ujian dan mendapati tiada satu pun antibiotik yang berkesan untuk melawan bakteria ini.

 

Antara patogen yang ditemui dalam ujian itu adalah E.coli, pneumonia Klebsiella serta Staphylococcus aureus yang boleh disebarkan melalui udara dan menyebabkan kematian.

india dilapor bergelut wabak bakteria kebal antibiotik

Selain itu, kemunculan patogen yang mempunyai kerintangan terhadap antibiotik iaitu Acinetobacter baumannii turut dikesan yang mana ia ditemui menyerang bahagian jantung pesakit hingga terpaksa dirawat di ICU.

 

Lebih merisaukan, hampir kesemua pesakit yang dijangkiti di hospital itu tidak mampu untuk membeli antibiotik yang lebih baik dan berdepan dengan risiko kematian yang tinggi disebabkan oleh radang paru-paru yang memerlukan bantuan ventilator di Unit Rawatan Rapi (ICU).

 

Sumber: Saudi Gazette