Baru-baru ini, tular beberapa foto menunjukkan bentuk seekor ikan yang mungkin jarang dilihat oleh kebanyakkan daripada kita.
Ikan yang mempunyai bentuk panjang dengan saiz kecil, serta gigi yang tajam dengan rahang besar, pasti membuatkan ramai antara kita memikirkan ia mungkin ikan yang tidak boleh dimakan.
Namun tahukah anda, ikan yang disebut sebagai ikan lumi atau ikan lumek ini adalah sejenis ikan yang biasa terjual di pasar-pasar basah dekat Sarawak dengan harga sekitar RM4 ke RM5 sekilo.
Mempunyai nama saintifik Harpodon nehereus, ikan lumi (nama Inggeris: Bombay-duck fish) merupakan salah satu spesis ikan air masin. Ia merupakan ikan yang penting secara komersial dan memerlukan lesen khas untuk menangkapnya bagi memastikan ia tidak terancam oleh tangkapan melampau.
Mungkin mereka yang tinggal di Semenanjung Malaysia tidak pernah atau jarang sekali melihat ikan ini, apatah lagi memakannya. Namun menurut sumber, ikan ini mempunyai isi manis dan lembut, malah tulangnya juga lembut seperti ikan sardin dalam tin.
Ikan lumi biasanya dibuat goreng atau sup. Masakan paling popular adalah goreng tepung dan dicicah bersama sos.
Jika anda teringin merasai keenakkan ikan lumi, apa kata anda ke Sarawak dan cuba sendiri disana!
Sumber foto: Carian Google