Seorang ibu telah mencuri perhatian warganet di Tiktok apabila dia sanggup menggadaikan gelang emas hadiah pemberian suami sempena ulang tahun perkahwinan, demi membeli komputer riba untuk anak menyambung pengajian.
Video yang dimuatnaik pengguna Tiktok @asiah1106 itu menunjukkan seorang wanita memasuki sebuah kedai gajet lalu bertanya sama ada dirinya boleh membeli dan membayar komputer riba menggunakan seutas gelang emas.
Dalam keadaan menangis teresak-esak, wanita itu rela menggadaikan gelang emas pemberian suami demi membelikan komputer riba untuk anaknya yang bakal menyambung pelajaran.
“Makcik nak cari laptop kat anak. Dah orang habaq (beritahu) ada jual kat sini, makcik mai (datang) lah kat kedai ni, nak tengok lagumana (bagaimana) bayaran dia.
“Kalau boleh tu, kalau cukup, nak beli cash (bayar secara tunai). Kita tengok dululah. Makcik kira nak bagi gelang sajalah kat cik (tuan kedai). Gelang ni, pakcik lah beli. Pakcik beli bersempena hari ulang tahun perkahwinan kami. Sayanglah..
“Yang penting ni, dia nak belajar kan. Biarlah kita berkorban, nanti ada duit kita beli lain kan,” ujarnya dalam nada merintih sambil mengesat air mata.
Bagaimanapun, pemilik kedai itu menasihatkan si ibu berkenaan untuk tidak menggadaikan gelang emas, sebaliknya memberi pilihan untuk membuat bayaran secara ansuran menerusi permainan kutu.
“Kalau makcik nak tolak gelang, rasanya tak payah dululah makcik. Simpan, takut ada benda lagi penting nak beli. Saya rasa makcik join kutu.
“Kami ni, selain jual secara cash, kami buat kutu gajet juga. Kalau makcik nak bayar secara bulanan, bolehlah main kutu. Senang sikit nak bayar, tak payah keluar duit seketul,” ujarnya.
Perkongsian video itu telah mencuri perhatian warganet yang rata-ratanya sebak dan tersentuh dengan pengorbanan dibuat ibu demi kesenangan anak menuntut ilmu di menara gading.
Sumber: TikTok @asiah1106