Pernah Rasa Hidup Susah, Pemilik Hanya Caj RM5 Untuk Homestay di Melaka

Seorang pemilik sebuah homestay di Melaka telah menjadi perhatian selepas dilaporkan hanya mengenakan caj sebanyak RM5 untuk penginapan semalaman di homestay miliknya.

pernah rasa hidup susah, pemilik hanya caj rm5 untuk homestay di melaka

Pemilik Sarasera Homestay, Nurul Himmah Muhammad Kamaruzzaman, 34, berkata idea untuk menawarkan pakej Inap Rahmah berharga RM5 itu juga sebagai menyambut usaha baik kerajaan dalam membantu golongan kurang berkemampuan khususnya golongan B40 di negara ini.

 

Katanya lagi, pakej Inap Rahmah adalah dijenamakan dari konsep Menu Rahmah, sekaligus menyokong sektor pelancongan Melaka menjelang Tahun Melawat Melaka 2024.

 

Menurut Himmah lagi, beliau pernah merasai kehidupan susah membantu ibu berniaga sayur di pasar malam selepas pemergian arwah bapanya semasa beliau berusia empat tahun.

pernah rasa hidup susah, pemilik hanya caj rm5 untuk homestay di melaka

Pakej Inap Rahmah di Sarasera Homestay yang terletak di Taman Saujana Indah, Bukit Katil, Ayer Keroh Melaka ini telah memberikan potongan harga sehingga 99 peatus berbanding harga asal RM650 semalam pada hari biasa dan RM750 semalam pada cuti umum serta hujung minggu.

 

Bagaimanapun menurut Himmah, tawaran ini cuma dibuat pada hari biasa bermula Februari hingga Mac, bergantung kepada kekosongan dan syarat ditetapkan.

 

Antara syarat yang ditetapkan olehnya adalah dokumen pendapatan kerana beliau mahu usaha ini sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan sahaja.

 

“Niat saya mahu keluarga besar mereka, mungkin 10 atau 15 orang berkumpul bersama menikmati kemudahan kolam renang sambil mengadakan BBQ yang dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.

 

Antara kemudahan yang disediakan adalah seperti stesen televisyen berbayar, Wi-Fi, basikal, kolam renang, set BBQ, dapur dan empat bilik yang dilengkapi penghawa dingin.

 

Sumber: Malaysia Gazette