Pemain Hoki Wanita Negara Digantung Lepas Buat Komen Berbaur Perkauman

Pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn telah digantung dan tidak dibenarkan mewakili pasukan hoki kebangsaan ke Temasya Sukan SEA Cambodia 2023 ekoran daripada komen berbaur perkauman.

 

Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Malaysia (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) telah bermesyuarat pada 7 Februari 2023 berhubung isu tersebut yang mana Hanis Nadiah telah memberikan komen di laman sesawang Instagram Kosmo Online yang didakwa berbaur perkauman berkenaan konsert artis dan composer dari India, AR Rahman pada 28 Januari 2023.

pemain hoki wanita negara digantung lepas buat komen berbaur perkauman

Hanis mengakui telah memuatnaik ciapan komen 'bau best la kat dalam tu' berserta emoji tertawa sehingga mengeluarkan air mata kepada gambar dan video keadaan konsert yang dimuatnaik oleh Kosmo Online. Ciapan itu dibuat mengekori komen netizen lain pada muatnaik berkenaan.

 

Hanis bagaimanapun menegaskan tidak mempunyai sebarang sentimen perkauman semasa memuatnaikkan ciapan yang sekadar jenaka dan merujuk kepada keadaan stadium dipenuhi puluhan ribu penonton. Beliau hanya menyedari wujudnya elemen berbaur perkauman setelah ditegur oleh netizen.

 

Ekoran daripada teguran itu, Hanis telah memadam komen tersebut pada pagi 29 Januari 2023 dan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi laman media sosialnya ekoran kekhilafan itu. Beliau juga kesal dengan ketelanjurannya dan menegaskan bahawa beliau bukan seorang yang ‘racist’.

pemain hoki wanita negara digantung lepas buat komen berbaur perkauman

Hasil daripada sesi temubual dan setelah memperhalusi beberapa dapatan lain berhubung isu berkenaan, Jawatankuasa Siasatan telah merumuskan bahawa Hanis telah memuatnaik ciapan komen yang berbaur perkauman kerana komen itu ditujukan kepada konsert dihadiri majoriti kaum India.

 

Sehubungan itu, Jawatankuasa mendapati Hanis telah bersalah sebagai individu kerana membuat kenyataan atau komen secara terbuka di akaun media sosial miliknya yang menjurus kepada menghina, mengutuk atau mencaci sesuatu pihak lain.

 

Hanis juga didapati bersalah kerana ciapan komen yang boleh disalah erti atau menimbulkan salah faham, kegusaran ataupun kemarahan sesuatu pihak lain.

 

Sebagai pemain hoki negara, Hanis didapati bersalah kerana telah membuat komen yang mengakibatkan kerosakan kepada imej pasukan dan KHM yang jelas melanggar kod etika KHM.

 

Sehubungan itu, Jawatankuasa Siasatan memutuskan untuk KHM tidak mempertimbangkan Hanis dari mewakili pasukan hoki kebangsaan ke mana- mana tugasan antarabangsa termasuk temasya Sukan SEA Cambodia 2023. Pihak KHM juga akan menilai semula keputusan ini sekiranya Hanis mempamerkan perubahan sikap yang positif sepanjang tempoh tersebut.

 

Sumber: KBS Malaysia