Pencipta Keluang Man, Kamn Ismail Diraikan Google Hari Ini

Jika anda menggunakan enjin carian Google hari ini, 8 Feb 2023, pasti anda dapat melihat satu doodle kartun terpampang pada skrin.

pencipta keluang man, kamn ismail diraikan google hari ini

Tahukah anda, doodle kartun itu ditujukan khas sempena hari lahir pengarah, penulis, juruanimasi dan pelakon suara dari Malaysia, iaitu Kamn Ismail.

 

Kamn Ismail atau nama sebenar beliau Haji Kamarudin bin Ismail merupakan seorang pencipta watak dan cerita animasi Keluang Man yang pernah menjadi fenomena pada tahun 1997 hingga 2001 lalu.

pencipta keluang man, kamn ismail diraikan google hari ini

Selain Keluang Man, beliau juga merupakan pengarah bagi siri animasi Usop Sontorian (1993-1997) hinggakan beliau dikenali sebagai pelopor pengarah siri animasi TV pertama di Malaysia.

pencipta keluang man, kamn ismail diraikan google hari ini

Tambah lagi, nama Kamn Ismail juga cukup sinonim dengan karya filemografi seperti Che Nat, Toman 1, Kumang, Kumang Lagenda Sarawak, Lagenda Kinabalu, Pusaka, Pejuang dan Duwi.

 

Sebelum dikenali dalam industri animasi tanah air, beliau pernah bekerja dengan sebuah studio animasi England, MacLean & Company, yang pada ketika itu sedang menjalankan penggambaran filem di Malaysia. Ketika itu, beliau menjadi pelukis skenik di studio berkenaan dan filem yang dihasilkan adalah filem Paper Tiger (1975) arahan Ken Annakin. Bagaimanapun, bapa beliau tidak bersetuju untuk beliau meneruskan kerjaya sebagai kartunis, menyebabkan beliau meneruskan kerjaya sebagai kerani di syarikat Keretapi Tanah Melayu selama 17 tahun. Namun itu tidak mematahkan semangat beliau untuk mengejar cita-cita dalam bidang animasi.

 

Pada 1 April 2018, Rumah Kartun dan Komik Malaysia bersama Animas menobatkan beliau sebagai Tokoh Penglipurlara Animasi Malaysia pada malam anugerah kartunis dan hari kartunis 2018 di Muzium Negara.

 

Perjalanan Kamn Ismail terhenti pada usia 63 tahun apabila beliau telah meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 8 Disember 2019 jam 4:15 petang.

Untuk jasa pelopor pengarah siri animasi TV pertama di Malaysia ini, maka hari ini, Google mendedikasikan satu doodle khas buat Allahyarham Kamn Ismail bersempena hari lahirnya 8 Feb.

 

Sumber: Google