Google Kini Beri Notifikasi Jika Maklumat Peribadi Anda Muncul Dalam Internet

Enjin carian Google kini telah memperkenalkan kaedah yang lebih mudah untuk mencari dan menghilangkan maklumat peribadi anda daripada hasil carian mereka.

 

Syarikat ini kini akan menghantar notifikasi apabila mereka menemui alamat, nombor telefon, atau emel anda di internet, membolehkan anda memeriksa dan meminta untuk mengeluarkan maklumat tersebut daripada Carian.

google kini beri notifikasi jika maklumat peribadi anda muncul dalam internet

Proses ini berlaku melalui papan pemuka Google "result about you" di platform mudah alih dan web, yang pertama kali dilancarkan pada bulan September tahun lepas.

 

Dengan kemaskini terkini, pengguna boleh mencari maklumat peribadi diri di Google tanpa perlu melakukan carian secara manual.

 

Setelah anda memberikan maklumat peribadi anda, papan pemuka tersebut secara automatik akan memaparkan laman web yang mengandungi sebarang padanan, membolehkan anda memeriksa setiap laman web itu, dan mengemukakan permintaan untuk mengeluarkannya.

google kini beri notifikasi jika maklumat peribadi anda muncul dalam internet

Kemaskini ini merupakan peningkatan yang ketara kerana sebelum ini, Google memerlukan pengguna untuk mencari maklumat peribadi mereka sendiri dan kemudian meminta penghapusan secara manual.

 

Bagi mereka yang bimbang tentang maklumat peribadi mereka di Google pada masa depan, pilihan untuk mengaktifkan pemberitahuan notifikasi juga disediakan. Ciri ini akan memberi amaran kepada anda tentang sebarang hasil baharu yang muncul. Selain itu, anda boleh melihat juga permintaan anda melalui hab Google, yang menunjukkan status permintaan anda, termasuk dalam proses, diluluskan, ditolak, dan dibatalkan.

 

Walau bagaimanapun, adalah penting untuk difahami bahawa mengeluarkan maklumat anda dari Google tidak bermakna ia benar-benar dipadamkan dari internet. Orang lain masih boleh menemui maklumat peribadi anda jika mereka terjumpa laman web tempat ia pertama kali dipaparkan. Selain itu, Google mempunyai beberapa limit mengenai jenis hasil carian yang boleh dan tidak boleh dihapuskan, malah tidak akan mengambil tindakan terhadap hasil daripada institusi kerajaan atau pendidikan.

 

Namun begitu, kemaskini ini memudahkan proses mencari dan menghapuskan maklumat peribadi anda dari Google, yang amat penting terutamanya bagi individu yang mungkin menjadi mangsa ‘doxing’.

 

‘Doxing’ merujuk kepada tindakan mengumpul dan mendedahkan maklumat peribadi seseorang secara terbuka atau melalui internet tanpa kebenaran. Maklumat peribadi yang didokumenkan termasuk nama, alamat, nombor telefon, alamat emel, maklumat keluarga, gambar, pekerjaan, dan sebagainya.

 

Buat masa ini, ciri ini sedang diperkenalkan di Amerika Syarikat dalam Bahasa Inggeris, dengan rancangan untuk meluaskannya ke negara-negara lain dan bahasa-bahasa lain dalam masa terdekat, demikian mengikut kenyataan daripada Google.

 

Sumber: TheVerge