Google Dedah Penerbangan Ke Luar Negara Dari Malaysia Kembali Memuncak Hampir Seperti Sebelum Pandemik

Permintaan untuk perjalanan antarabangsa dalam kalangan rakyat Malaysia telah meningkat sehingga hampir menandingi tahap pra-pandemik, menurut Google.

google dedah penerbangan ke luar negara dari malaysia kembali memuncak hampir seperti sebelum pandemik

Syarikat teknologi itu, melalui aliran carian Google, mendapati permintaan perjalanan meningkat berikutan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lalu.

Pengarah Urusan Google Malaysia Marc Woo berkata trend itu itu menunjukkan kebangkitan semula perjalanan dalam kalangan rakyat Malaysia kini kerana banyak sempadan di sekitar rantau ini dibuka semula.

“Di Malaysia, kami melihat pemulihan kukuh permintaan perjalanan antarabangsa yang telah meningkat kepada 90 peratus daripada tahap pra-pandemik, dan ledakan permintaan perjalanan domestik apabila rakyat Malaysia menemui semula destinasi negara,” katanya.

Menurut Google, terdapat peningkatan mendadak dalam permintaan perjalanan susulan pengumuman pembukaan semula sempadan untuk perjalanan antarabangsa.

Antara 27 Mac dan 4 April, permintaan perjalanan antarabangsa telah meningkat kepada 90 peratus daripada tahap pra-pandemik.

Sementara itu, permintaan perjalanan domestik telah meningkat dengan ramai rakyat Malaysia memanfaatkan sepenuhnya tawaran alam semula jadi dan budaya negara.

Perancangan untuk perjalanan dalam negara pada suku pertama 2022 mengatasi tahap 2019 sebanyak 30 peratus.

“Rakyat Malaysia semakin mencari ‘staycation’ (tiga kali ganda berbanding 2019) dan perkhidmatan bas transit (pertumbuhan 51 peratus dari tahun ke tahun), serta meneroka taman tema, pekan warisan dan destinasi lain seperti George Town, Langkawi dan Cameron Highlands,” kata Google dalam satu kenyataan.


Sumber: [1]