Dua jenama radio di Malaysia, ERA dan SURIA hari ini (23 Oktober) telah mencipta sejarah tersendiri apabila bersiaran secara langsung bersama menerusi program 3 Pagi ERA dan Morning Morning Suria.
Diinspirasikan daripada CelcomDigi, kedua-dua stesen ini telah disatukan melalui penjenamaan ERA SURIA, Di Sini Segalanya Terkini, melalui barisan penyampai kedua-dua radio iaitu Nabil, Azad, Radin, Ajak, Shuib dan Suraya.
Dan hari ini, kedua jenama radio yang bersaing ini telah membuktikan mereka mampu untuk bersiaran langsung bersama dan telah mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records untuk Kolaborasi Rangkaian Radio Silang Pertama Untuk Menyiarkan Siaran Yang Sama Secara Serentak.
Terdahulu, pengurus kandungan ERA, Hani Fadzil berkata, gabungan dari dua jenama dengan latar belakang berbeza ini pasti boleh diterima ramai pendengar di Malaysia.
“Meskipun kolaborasi ini menggabungkan dua jenama dari latar belakang berbeza, kami percaya bahawa pada penghujung hari, kandungan dan pengisian yang diterima oleh pendengar adalah perkara utama.
“Kami juga ingin mempamerkan persaingan sihat antara jenama radio dengan berkongsi nilai dan matlamat yang sama, seperti CelcomDigi, kami percaya bahawa ERA dan SURIA FM akan Gagah Bersama,” kata beliau.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet memuji kolaborasi ini dan berhadap agar wujud gabungan seperti ini lagi di masa akan datang.