Jika anda mempunyai akaun media sosial X (dahulunya disebut sebagai Twitter) yang tidak aktif dalam tempoh melebihi 30 hari, akaun anda itu mungkin akan dijual kepada individu lain yang menghendakinya.
Menurut laporan, syarikat milik bilionair Elon Musk itu kini sedang membangunkan ruang jual beli untuk akaun-akaun yang tidak lagi aktif selepas didaftarkan.
Untuk itu, peringatan berupa emel sudah mula dihantar kepada pihak yang mungkun berminat dengan bayaran $50,000 dikenakan untuk membeli akaun tertentu.
Terdahulu, Elon Musk berkata pihaknya sudah memadam 1.5 bilion akaun X yang tidak aktif, bertujuan bagi memerangi akaun spam dan juga bot.
Tidak aktif menurut X adalah akaun yang tidak dilog masuk lebih daripada 30 hari.
Bermaksud, jika anda mempunyai akaun X yang sudah lama tidak dilog masuk, sila lakukannya sekarang supaya ia tidak dijual oleh X secara tiba-tiba.
Tindakan ini dilihat sebagai salah satu cara untuk aplikasi X menjana pendapatan yang dilapor semakin merosot selepas setahun Elon Musk mengambil alih aplikasi berkenaan.
Sebelum ini, X turut juga memperkenalkan dua pelan baharu untuk X Premium, dan mengenakan bayaran $1 untuk akaun-akaun baharu pengguna di New Zealand dan Filipina.
Sumber: Astro AWANI