Perasaan pilu menyelebungi diri apabila sejumlah wang simpanan RM30,000 milik warga emas telah rosak di makan anai-anai.
Wang tersebut yang disimpan oleh Zainab Sulong atau lebih dikenali sebagai Mek Nab dalam kotak dirumah, sepatutnya digunakan untuk menunaikan ibadah haji pada tahun hadapan.
"Mak duduk dengan saya di Gua Musang, manakala nenek tinggal di rumahnya di Rantau Panjang.
"Minggu lalu, mak ada balik ke Rantau Panjang selepas nenek menghubunginya memberitahu apa yang berlaku.
"Duit itu bercampur antara mata wang Malaysia dan Thailand dengan nilainya mencecah RM30,000. Mungkin nenek sudah lama tak buka untuk tengok duit itu menyebabkannya dimakan anai-anai," kata cucu Mek Nab, Muhammad Khairul Azhar Mat Nawi..
Menurut cucu Mek Nab lagi, wang simpanan itu adalah hasil berniaga kuih secara kecil-kecilan sejak beberapa tahun lalu.
"Kami memang tahu nenek hendak pergi haji tahun depan dengan syarikat swasta, saya fikir mungkin duitnya sudah cukup.
"Tetapi kami tak tahu rupanya dia ada simpan duit sebanyak itu dalam kain bawah kotak di rumahnya dan kalau tahu tentu kami tak benarkan.
"Nenek saya pun sudah tua usianya 72 tahun, mungkin dia berasa lebih mudah simpan dalam rumah berbanding ke bank," demikian menurut beliau.
Ujarnya, wang yang rosak itu akan dihantar kepada pihak bank dalam masa terdekat untuk proses penilaian kerosakan.
"Memang nenek sedih kerana duit simpanannya itu rosak, tetapi kini dia boleh menerimanya mungkin tiada rezekinya kali ini.
"Kami adik-beradik bercadang membuat kutipan sesama kami untuk menggantikan duit itu dengan sebagai permulaan kami mahu menghantar nenek pergi umrah dulu tahun depan," katanya lagi.
Susulan itu, beliau turut menasihatkan orang ramai untuk menyimpan wang di saluran yang betul untuk mengelakkan kejadian seperti ini daripada berlaku.
Sumber: Facebook