Dua beranak telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen Kluang pada Khamis selepas mengaku bersalah menjual kotak TV android yang tidak diperakui, dua tahun lalu.
Tertuduh, Tay Wee Hwa, 60, dan anak lelakinya Tay Eng Guan, 30, turut dikenakan perintah hukuman penjara dua tahun sekiranya mereka gagal membayar denda.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa menjual dua unit kotak TV android bix jenama Eplay, bertujuan memintas langkah perlindungan teknologi yang disebut dalam Subseksyen 36A (3) Akta Hak Cipta 1987.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 12.55 tengah hari bertempat di Wee Seng Electronic Service Center, Kluang Baru. Peranti yang dijual tertuduh telah menawarkan kandungan saluran Astro yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Terdahulu, tertuduh turut membuat rayuan hukuman denda minimum dikenakan ke atasnya memandangkan dia perlu menjaga seorang bapa yang menghidap kanser dan perlu menanggung kos rawatannya di hospital swasta.
Bagaimanapun pihak pendakwaan memohon hukuman berat dijatuhkan, dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan tahap keseriusan kes.
Kedua-dua tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 41(1) Akta Hakcipta 1987 dan turut disiasat mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seseorang boleh dikenakan denda maksimum RM40,000 atau penjara tak lebih 10 tahun atau keduanya sekali jika disabitkan dengan kesalahan.
Dalam kes berlainan, dua lelaki yang turut melakukan kesalahan sama telah didakwa mengikut Seksyen 43AA Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 kerana memiliki dan menjual tiga perkakas itu dengan kandungan yang tidak dibenarkan. Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM15,000 untuk setiap tertuduh.
Baca: Dua Lelaki Didakwa Atas Kesalahan Miliki Android Box Tanpa Kelulusan!
Sumber: Astro AWANI