Setiap pasangan pasti akan ada dugaan tersendiri, tapi perlukah setiap solusi berakhir dengan keretakan sebuah mahligai perkahwinan?
Drama bersiri terbaru, ‘Nikah Cerai Rujuk’ merupakan satu drama yang realist, menunjukkan realiti di sebalik perkahwinan yang pasti ada dugaan. Malah kekuatan rantaian drama ini terletak pada naratif yang begitu realistik di kalangan masyarakat kita.
Drama ini mengisahkan tentang tiga pasangan suami isteri yang bagaikan cermin kepada masyarakat moden kita. Setiap pasangan ini mempunyai konflik dan bergelut dengan kemelut yang semakin memuncak.
‘The Power Couple’ watak Dr. Alia Maisarah dan suaminya, Hisyam yang dilakonkan oleh Dynas Mokhtar dan Dato’ Sri Eizlan Yusof mulai retak apabila Alia mengetahui perkahwinan kedua suaminya dengan wanita yang bekerja di syarikatnya. Perit bila dimadukan tanpa disedari.
Manakala, ‘The It Couple’, Hanna Zulaikha dan Adam Hafiz yang dilakonkan oleh
Shaza Bae dan Halim Radzi pula merupakan pasangan pelakon popular yang jika dilihat daripada mata kasar bahagia dan sempurna namun sebenarnya penuh dengan onak dan duri.
Sumaiyyah pula, ‘The Perfect Mum’ yang dilakokan oleh Noorkhiriah juga turut menghadapi kepayahan dalam mengecapi kestabilan perkahwinannya dengan suaminya yang curang.
Drama ‘Nikah Cerai Rujuk’ ini telah diarahkan oleh kombinasi unik bapa dan anak yakni Jinggo Haji Azman Haji Yahya (Jinggo) dan Uzair Haqimy (Haq) serta diterbitkan oleh JS Pictures.
“Terlalu banyak pengajaran dan nilai moral yang kita cuba jelaskan dalam drama ini. Antaranya adalah nilai kesabaran, ketanggungjawaban, kasih sayang, dan terlalu banyak lagi. Kena tengok dan nilai sendiri”, kata Haq.
‘Nikah Cerai Rujuk’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis bermula 26 Disember 2022, jam 11.00 malam secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel.