Awas, Kes Demam Denggi Dijangka Naik Mendadak Hujung Tahun 2023

Kes demam denggi dijangka naik mendadak mulai hujung tahun ini selepas melihat kepada trend kes sejak 10 tahun lepas.

awas, kes demam denggi dijangka naik mendadak hujung tahun 2023

Demikian menurut pakar, Dr Wan Ming Keong yang memaklumkan trend jangkitan dilihat berada di kemuncak setiap 4 atau 5 tahun, dipercayai disebabkan oleh perubahan serotaip yang dominan di sesuatu kawasan.

 

"Kemuncak terakhir yang dilaporkan ialah pada 2019. Sebab itu kita jangka hujung tahun ini atau pada tahun depan kes akan ke kemuncak lagi. Salah satu faktor penyumbang ialah perubahan serotaip virus.

"Denggi ada empat serotaip (DENV-1 hingga DENV-4). Setiap kali serotaip yang dominan di sesuatu kawasan bertukar ke serotaip lain, kes akan meningkat kerana sistem imun penduduk setempat terhadap serotaip baru masih rendah, menyebabkan mereka senang dijangkiti," kata beliau yang merupakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

awas, kes demam denggi dijangka naik mendadak hujung tahun 2023

Ujarnya, pesakit yang sembuh dari serotaip akan mendapat imunisasi pelindungan seumur hidup daripada serotaip berkenaan. Ini menyebabkan jumlah maksimum seseorang boleh dijangkiti denggi sepanjang hidupnya hanya sebanyak empat kali.

 

Bagaimanapun pesakit yang dijangkiti denggi untuk kali kedua akan mengalami komplikasi lebih serius.

 

Menurut beliau lagi, punca lain kes denggi meningkat adalah kerana hanya satu dalam empat pesakit denggi bergejala, manakala pesakit lain tidak menunjukkan sebarang simptom.

awas, kes demam denggi dijangka naik mendadak hujung tahun 2023

"Bagi yang tidak bergejala ini, mereka tidak akan mendapatkan rawatan kerana tidak tahu mereka sudah dijangkiti.

"Jadi bila mereka bergerak ke kawasan baharu, nyamuk yang tidak membawa virus itu akan menghisap darah pesakit yang sudah dijangkiti denggi berkenaan.

"Seterusnya virus yang dihisap akan menular di kawasan baru apabila nyamuk Aedes menggigit mangsa lain," jelasnya.

 

Untuk info, KKM telah membuat pelepasan nyamuk aedes berwolbachia di 28 lokaliti pada tujuh negeri bagi meningkatkan usaha pencegahan dan kawalan denggi.

 

Sumber: Sinar Harian