Pelbagai cara digunakan bagi menggalakkan orang ramai untuk mengambil vaksin bagi menghalang penularan wabak COVID-19 ketika ini.
Di Desa Ciputri, Kabupaten Cianjir dalam wilayah Jawa Barat, Indonesia, beratus-ratus warga emas terpaksa dipujuk dengan ganjaran seekor ayam hidup secara percuma jika mereka tampil mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
Selain menerima ayam hidup percuma, mereka juga terpaksa dijemput untuk hadir ke pusat vaksinasi kerana enggan hadir secara sukarela bagi menerima suntikan tersebut.
Menurut Ketua Polis Pacet, Assisten Komisioner Galih Apria, pemberian ayam hidup itu sebagai tanda penghargaan kerana mereka mahu menerima vaksin.
Menurutnya lagi, taktik pemberian ayam hidup itu dilihat berkesan dalam membantu meningkatkan jumlah penerimaan vaksin dalam kalangan warga emas.
“Ini adalah inisiatif kami di Jawa Barat agar golongan warga emas mahu menerima vaksin. Ayam hidup ini diberikan sebagai hadiah buat mereka sama ada mahu disembelih untuk dijadikan makanan atau dipelihara.
“Setakat ini, sambutan warga emas pada inisiatif ini memberangsangkan dan mereka bersemangat untuk menerima suntikan dos kedua,” jelas Galih.
Sumber: Detik News