Seorang usahawan wanita Indonesia, Shella Saukia menjadi tular selepas menghadiahkan beg tangan mewah berjenama Hermes kepada para tetamu yang hadir ketika majlis sambutan hari jadinya.
Menerusi hantaran di Instagram, Shella berkongsi beberapa video pendek yang merakamkan detik-detik majlis gah itu yang diadakan pada 12 Ogos lalu di sebuah hotel sekitar Jakarta.
Antara selebriti yang turut hadir di majlis tersebut termasuk Okky Asokawati, Ivan Gunawan dan Indah Nada Puspita.
Terdahulu, Shella yang juga digelar Crazy Rich Aceh pernah menjadi perhatian berikutan kisahnya yang mana beliau pernah tinggal di rumah bantuan tsunami yang disediakan kerajaan Indonesia sebelum akhirnya menjalani kehidupan berjaya dan mempunyai rumah seperti istana dan kereta mewah.
“Tahun 2014 saya berhijrah ke Banda Aceh. Saya bermula dari bawah. Kebetulan ketika itu saya hanya mampu menyewa rumah untuk bantuan tsunami. Sebab sewanya murah dan saya boleh bayar secara ansuran ketika itu,” katanya.
Beliau kemudian berusaha meniaga secara kecil-kecilan dengan bantuan suaminya sehingga berjaya, dan akhirnya dijemput di program televisyen bertujuan memberi inspirasi kepada syarikat baru.
Sumber: Wolipop