Sejak dua tahun lalu, pandemik COVID-19 telah melanda dunia dan menyebabkan jutaan nyawa terkorban.
Pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan keselamatan dan nyawa orang ramai terjamin, seperti pemberian vaksin dan juga pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) ditempat awam.
Pun begitu, pakar meramalkan pandemik COVID-19 ini tidak akan hilang dengan begitu mudah, malah berkemungkinan besar akan kekal buat selama-lamanya.
Menurut pakar epidemiologi di Universiti Michigan, Prof. Dr. Arnold Monto, beliau juga tidak dapat memastikan bagaimana dan bilakah pandemik ini akan menjadi seperti influenza bermusim.
“Tiada ukuran mahupun garis masa ditetapkan dapat menyatakan ia merupakan wabak atau pandemik.
“Ia bukannya berdasarkan peraturan tetapi apa yang perlu anda lakukan untuk mengawal pandemik tersebut.
“Apa yang membezakan adalah vaksin kami jauh lebih berkesan berbanding kebiasaan yang dilaporkan,” katanya kepada CNN.
Beliau memaklumkan juga vaksin sangat berkesan bagi mengawal penularan wabak COVID-19 diseluruh dunia buat masa ini.
Katanya lagi, tiada mana-mana pihak boleh meramalkan masa depan COVID-19 dan kemunculan varian koronavirus baharu seperti Delta yang sudah mengubah situasi semasa.
“Dengan perubahan corak penyebaran selepas kemunculan varian baharu, kita kini menyaksikan penularan yang lebih meluas dan seragam di seluruh dunia.
“Ini sekali gus menjadikan pengisytiharan penamatan pandemik lebih sukar kerana corak penularan sudah berubah dan mungkin terdapat beberapa tempat yang belum mengalami jenis gelombang yang dilalui seluruh dunia,” katanya.
Sumber: [1]