Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memutuskan pandemik COVID-19 yang melanda dunia kini tidak lagi dikategorikan sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa.
Menurut Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, perkara itu diumumkan pada Jumaat selepas dunia berdepan pandemik maut itu sejak tiga tahun lalu.
Ujarnya lagi, terdapat trend penurunan kes jangkitan COVID-19 sejak setahun lalu, sekaligus merujuk kepada peningkatan imuniti dalam kalangan masyarakat komuniti melalui vaksinasi dan jangkitan.
Bagaimanapun pengumuman itu tidak mempunyai kesan konkrit kerana setiap negara di dunia boleh memutuskan sendiri langkah perlindungan yang akan dikenakan.
Tegas beliau, COVID-19 akan terus kekal dalam masyarakat dunia dan ia boleh mencetuskan varian berbahaya pada bila-bila masa.
Selain vaksinasi, langkah perlindungan seperti pemakaian pelitup muka, menjaga jarak di ruang sesak dan ruang pengudaraan yang baik juga penting dalam memastikan virus ini tidak mudah merebak.
Sumber: Nature / WHO