Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 kini sedang berlangsung. Seramai 403,637 calon akan menduduki peperiksaan ini daripada 20 Feb hingga 15 Mac depan.
Dalam pada itu, seorang calon SPM yang menghidap penyakit berkaitan usus tetap meneruskan hasratnya untuk mengambil peperiksaan itu meskipun kini dia sedang berada di atas katil hospital.
Menurut laporan, Nur Eiffa Hazeeqa Mohd Hafiz, 18, telah dinasihati ibu bapanya supaya mengambil SPM pada tahun hadapan memandangkan tahap kesihatannya ketika ini kurang memuaskan. Namun, Eiffa tetap mahu mengambil peperiksaan ini kerana tidak mahu mensia-siakan persiapan yang telah dilakukannya.
Menurut ibu Eiffa, anak sulungnya dari empat beradik itu mempunyai masalah jantung sejak lahir sebelum berdepan dengan pelbagai penyakit lain antaranya Crohn yang menyebabkan sistem pengadamannya terjejas.
Tambahnya lagi, sebanyak empat pembedahan sudah dijalankan sejak Eiffa berusia sembilan bulan sehingga tahun lalu.
"Sehingga kini, anak saya perlu berulang alik ke hospital bagi menjalani rawatan dan dia tidak pernah putus asa membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan SPM.
"Saya dan suami ada menasihatinya supaya mengambil peperiksaan ini tahun depan tetapi anak saya tetap mahu teruskannya," kata ibu pelajar berkenaan, Sharifah Nur Aminah Syed Abd Hamid.
Kini remaja berkenaan menduduki SPM di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan memerlukan bantuan dari segikewangan bagi mengubati penyakit dialaminya ini.
Sumber: Hmetro / Facebook