Seorang remaja lelaki mengalami kerosakan pada buah pinggangnya selepas dipaksa untuk melakukan senaman cangkung atau squat sebanyak 200 kali selain perlu berlari mengelilingi sekolah di wilayah Hunan, China.
Menurut laporan, Liu, 14, dihukum gurunya, Tuan Tao, kerana bersembang di dalam kelas semasa beliau sedang mengajar pada 12 September lalu.
Kejadian berlaku di Sekolah Menengah Quantang daerah Changsha di kota Jingzhou.
Menurut bapa saudaranya, pelajar itu berasa sakit pada otot dan sukar untuk berjalan selepas didenda sedemikian. Malah setiap kali membuang air kecil, air kencingnya akan berwarna teh.
Dua hari selepas didenda squat 200 kali, keadaan Liu masih belum pulih dan meskipun dia meminta cuti sakit, gurunya Wen, memaksa beliau untuk melakukan latihan larian.
Bagaimanapun selepas enam pusingan berlari, Liu pengsan secara tiba-tiba dan ibunya dihubungi untuk mengambilnya pulang.
Hasil pemeriksaan mendapati, air kencing Liu mempunyai darah dan dia kemudian dibawa ke Hospital Rakyat Ningxiang.
Lui kemudian dibawa ke ICU dan doktor mengesahkan buah pinggang remaja itu kemungkinan gagal berfungsi jika lewat dibawa ke hospital.
Remaja malang itu disahkan menderita rhabdomyolysis iaitu cedera otot. Dia dirawat di ICU selama seminggu sebelum dibenarkan keluar.
Untuk info, rhabdomyolysis adalah satu penyakit yang berbahaya yang berlaku apabila otot rangka dalam badan rosak dan melepaskan protein otot yang disebut mioglobin ke dalam darah. Mioglobin ini boleh merosakkan buah pinggang dan menyebabkan masalah kesihatan yang serius.
Tambah lagi, guru yang mendenda Lui juga sudah dipecat dan Biro Pendidikan Kota Ningxiang berjanji akan menanggung segala kos perubatan Liu.
Sumber: SCMP