Blake Si Anjing Hero Batang Kali Disahkan Mati Akibat Barah Limfoma Tahap 4

Anjing pengesan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Blake, telah disahkan mati selepas terpaksa ditidurkan pada jam 4.38 petang Isnin kerana dikesan menghidap barah.

blake si anjing hero batang kali disahkan mati akibat barah limfoma tahap 4

Blake yang dikenali antara hero terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa insiden tanah runtuh Batang Kali, Selangor pada Disember tahun lepas, dilapor menghidap barah limfoma tahap empat pada 15 Ogos lalu.

 

Dalam satu kenyataan, Blake telah dimasukkan ke wad Anjing Kesayangan di Fakuti Veterinar, UPM pada 14 September selepas hilang selera makan dan juga kelesuan.

 

“Sepanjang berada di wad untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, anjing ini gagal memberi respons kepada ubat dan rawatan yang telah diberikan oleh pihak veterinar.

“Barah limfoma yang dikesan pada anjing tersebut juga semakin agresif sehingga merebak ke seluruh badan dan semakin membesar. Hasil perbincangan bersama Pakar Veterinar, Dr Nur Alimah Rahman, pihak jabatan telah bersetuju dengan keputusan untuk menidurkan anjing pengesan Blake.

“Ia memandangkan kesihatannya yang merosot secara mendadak, tiada harapan dipulihkan serta mengelakkan anjing ini menderita dari kesakitan selain mengambil kira kebajikan anjing tersebut,” jelas Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan.

blake si anjing hero batang kali disahkan mati akibat barah limfoma tahap 4

Untuk info, Blake yang merupakan anjing baka English Springer Spaniel dari United Kingdom, diperoleh JBPM pada 2017, telah membantu kepada banyak kejayaan operasi mencari dan menyelamat JBPM di seluruh negara.

Sumber: KPKT