Seorang doktor kini sedang disiasat selepas bapa yang terkejut membuat laporan polis bahawa dia telah menyaksikan kepala bayi perempuannya ‘tercabut’ semasa kelahirannya.
Keluarga tersebut menyatakan bahawa bayi itu masih hidup ketika mulai keluar dan setelah insiden yang mengerikan itu, pihak hospital cuba memaksa mereka untuk menandatangani dokumen yang akan menyembunyikan perkara itu.
Kejadian mengejutkan itu dilaporkan berlaku di Hospital das Clinicas da UFMG, di kawasan Santa Efigenia, Belo Horizonte, ibu negeri Minas Gerais di tenggara Brazil pada Isnin, 1 Mei lalu.
Ibu mangsa, Ranielly, dimasukkan ke hospital pada 24 April lalu pada usia kandungan 28 minggu kehamilannya, dan bersalin pada 1 Mei.
Semasa kelahiran, jururawat yang tidak disebutkan namanya, dilaporkan memanggil bapa kepada bayi perempuan itu untuk menyaksikan prosedur kelahiran tersebut.
Si bapa itu dilaporkan melihat anaknya menggerakkan mulut, sebagai bukti bahawa bayi itu hidup dan sihat.
Tetapi kemudian, menurut laporan keluarga kepada polis, doktor tersebut menekan perut ibu dan pada masa yang sama cuba mengeluarkan badan bayi dengan cepat, lalu "memisahkan kepala bayi" dengan badannya, kata ayah tersebut dengan terkejut.
Laporan polis juga menyatakan bahawa keluarga itu kemudian dihubungi oleh seorang pekerja sosial di hospital yang mengatakan bahawa hospital akan menanggung semua kos untuk pengkebumian bayi. Tetapi tawaran itu dilaporkan hanya sah jika mereka bersetuju untuk menandatangani dokumen yang menyatakan bahawa "autopsi telah dilakukan di hospital", bahawa "badan bayi telah diperiksa", dan bahawa "badan tidak akan diserahkan ke Institut Perubatan Undang-Undang (IML)" untuk analisis lanjut.
Menurut peguam keluarga mangsa, Jennifer Valente berkata, mereka menolak untuk menandatangani dokumen tersebut dan kemudian membuat aduan kepada polis.
Pihak hospital dalam pada itu dilaporkan enggan memberikan sebarang komen kepada media tempatan dan hasil bedah siasat juga belum diketahui umum. Siasatan polis kini masih berlangsung.
Sumber: Daily Star