Setiap kali tibanya musim perayaan, jalan raya yang sesak adalah ‘mimpi ngeri’ yang terpaksa ditempuh ramai, khasnya anak perantauan.
Negeri-negeri di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang khasnya terpaksa berdepan dengan jalan raya sesak hinggakan ada yang perlu menempuh jalan jem sehingga berjam-jam lamanya.
Bagaimanapun seorang pengguna Tiktok @mrspaus, telah berkongsi satu lagi pilihan alternatif yang boleh digunakan iaitu melalui laluan negara jiran, Thailand.
Menerusi rakaman itu, wanita itu memulakan perjalanan dari Alor Setar, Kedah ke Sungai Golok, sempadan Kelantan dengan melalui imigresen Durian Burung.
Menurut wanita itu, durasi perjalanan menuju ke sempadan Sungai Golok, Kelantan itu memakan masa selama tiga jam 30 minit sahaja dari sempadan Ban Prakop, Thailand.
Ujarnya, aliran trafik melalui laluan itu lengang dan sepanjang perjalanan ada juga pelbagai jenis makanan menarik dijual.
Selepas melalui sempadan Sungai Golok, perjalanannya diteruskan dengan melalui Imigresen Rantau Panjang, Kelantan.
Video itu telah menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi berbeza dari warganet.
Ada yang pernah cuba?
Sumber: Sinar Harian