Bajet 2024: 100 Ribu Topi Keledar Percuma Akan Diagih Termasuk Untuk Kanak-Kanak

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan pihak kerajaan bersetuju untuk mengagihkan sebanyak 100 ribu topi keledar secara percuma, termasuk untuk kanak-kanak.

 

Pemberian itu menyasarkan keluarga kurang berkemampuan, hasil daripada pendapatan yang diraih menerusi penjualan nombot plat khas, seperti yang dibentangkan beliau dalam pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani, hari ini (13 Oktober).

bajet 2024: 100 ribu topi keledar percuma akan diagih termasuk untuk kanak-kanak

Ujar Perdana Menteri, selain pemberian topi keledar percuma, kerajaan juga bersetuju untuk terus menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2, e-hailing dan teksi untuk manfaat lebih 40,000 belia daripada keluarga kurang mampu.

 

Malah katanya lagi, sebahagian daripada pendapatan penjualan nombor plat khas akan digunakan untuk memperkenalkan ikhtiar FLYsiswa, iaitu bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi mengurangkan beban kewangan pelajar yang ingin pulang ke kampung halaman. Ikhtiar FLYsiswa ini kata beliau akan dimanfaatkan hampir 60,000 pelajar daripada keluarga kurang mampu.

Terdahulu, ini adalah belanjawan kedua dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar, yang juga Menteri Kewangan.