Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Keselamatan Astro kini sedang giat memerhatikan premis perniagaan yang menggunakan peralatan penstriman secara tidak sah.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, beberapa premis perniagaan di daerah itu didapati masih menggunakan peranti yang tidak dibenarkan, dan itu adalah jelas bercanggah dengan undang-undang.
Program pemantauan pada hari Sabtu bertujuan memberikan kesedaran kepada premis perniagaan yang menayangkan siaran hiburan menggunakan perkhidmatan berbayar seperti Astro bahawa penggunaan tidak sah adalah suatu kesalahan.
Masyarakat juga dinasihatkan untuk menghentikan penggunaan peranti penstriman haram dan memastikan mereka memperoleh langganan dan menggunakan perkhidmatan hiburan yang sah.
Kegiatan penstriman haram adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 43AA Akta Hak Cipta. Jika seseorang dikenakan kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM200,000 atau penjara selama 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, pengarah syarikat juga boleh bertanggungjawab secara peribadi jika syarikat mereka didapati terlibat dalam aktiviti yang dilarang seperti penstriman haram seperti ini.
Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 telah dikuatkuasakan pada 17 Mac tahun ini setelah diterbitkan dalam Warta Kerajaan pada 10 Februari 2022.
Sumber: Astro AWANI