Rancangan hiburan sensasi berbentuk ‘gameshow’, Family Feud kini telah melebarkan sayapnya ke Malaysia!
Selepas termeterai perjanjian mengadaptasi ‘Family Feud’ bersama Fremantle, Astro kini tampil dengan tiga versi ‘Family Feud Malaysia’ iaitu Bahasa Melayu (C104), Bahasa Tamil (C202) dan Bahasa Inggeris (C704).
Bakal diacarakan oleh pengacara hebat tanah air iaitu Nabil Ahmad untuk Bahasa Melayu, Douglas Lim untuk Bahasa Inggeris dan Dr J. Ram untuk Bahasa Tamil, ketiga-tiga mereka akan mengikut jejak langkah pelawak terkemuka Amerika Syarikat iaitu Steve Harvey.
Permainan ‘Family Feud Malaysia’ dimulakan dengan peserta pertama (Ketua Pasukan) dari kedua-dua buah kumpulan yang bertanding tampil di podium untuk menjawab soalan pertama. Peserta terpantas yang menekan buzzer akan memberikan jawapan terlebih dahulu. Jika jawapan yang diberikan berada di kedudukan teratas survey, ahli-ahli pasukan tersebut akan memberi jawapan susulan. Jika tidak, pasukan lawan akan cuba untuk memberi jawapan yang tertinggi untuk mengambil alih pusingan tersebut. Jawapan-jawapan yang diberikan adalah berpandukan survey yang dibuat di kalangan 100 orang Malaysia. Pasukan yang menerima markah terbanyak akan mara ke pusingan Fast Money dan berpeluang untuk memenangi wang tunai RM5,000.00.
Terdapat sembilan episod istimewa dengan durasi satu jam setiap episod, rancangan ini melibatkan para selebriti sebagai kapten untuk keluarga mereka iaitu ‘Celebriti Family Feud Malaysia’, yang bakal disiarkan setiap Isnin jam 11 malam. Selain itu, terdapat juga 18 episod yang terdiri daripada peserta bukan selebriti atau pun orang awam, yang akan berdurasi selama 30 minit, setiap Selasa jam 11 malam.
Khas Aidilfitri ini, sembilan lagi episod bakal ditayangkan bermula 1 Syawal hinggal 9 Syawal, 12 tengah hari yang bakal membariskan barisan selebriti-selebriti dari program-program terbitan Astro seperti barisan-barisan pelakon ‘Projek High Council’, ‘Andai Itu Takdirnya’ dan ‘Isteri Halal’ serta alumni-alumni ‘Gegar Vaganza’ dan ‘Big Stage’ serta banyak lagi. Hasil kemenangan selebriti-selebriti ini akan didermakan kepada badan-badan kebajikan yang dipilih.
‘Family Feud Malaysia’ versi Bahasa Melayu akan ditayangkan pada setiap hari Isnin dan Selasa bermula 27 Mac 2023, jam 11.00 malam secara eksklusif di Astro Ria (Saluran 104). ‘Family Feud Malaysia’ versi Tamil akan ditayangkan pada Mei 2023 dan ‘Family Feud Malaysia’ versi Bahasa Inggeris pula bakal menemui penonton bermula September 2023 ini.
Layari laman web astro.com.my untuk info lanjut.