Pelakon, Anna Jobling, 24, berkata beliau sengaja menolak semua tawaran lakonan sepanjang Ramadan kali ini kerana mahu meluangkan masa bersama keluarga tercinta.
Menurut pemilik nama sebenar Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 24, beliau mengambil keputusan ini kerana sudah dua tahun berturut-turut terikat dengan komitmen kerja semasa bulan Ramadan.
"Ramadan ini saya memilih untuk berehat daripada dunia lakonan. Tapi, untuk komitmen sebagai duta, menghadiri sebarang acara dan mesyuarat masih lagi diteruskan.
"Memang saya sengaja tak ambil tawaran lakonan sebab mahu berehat. Sebab kadang-kadang sampai satu tahap perlu ambil masa berehat. Tawaran ada, tapi saya tolak," katanya.
Katanya, masa untuk bersama keluarga adalah sangat penting, lebih-lebih lagi ketika berada di bulan yang mulia ini.
"Tahun ini saya mahu luangkan lebih masa bersama keluarga. Saya hendak tolong ibu masak nanti.
"Ditambah pula saya tak berhenti kerja sejak Julai tahun lalu, jadi saya ambil keputusan berehat sekejap. Insya-Allah, saya kembali berlakon selepas Aidilfitri," katanya.
Sumber: BH