Dilahirkan Bermata Biru, Anak Orang Asli Asal Perak Ini Curi Tumpuan Ramai

Gara-gara memiliki sepasang mata biru, seorang kanak-kanak Orang Asli bernama Rafizal Baharom ini menjadi tumpuan orang ramai.

dilahirkan bermata biru, anak orang asli asal perak ini curi tumpuan ramai

Rafizal yang berusia 11 tahun, merupakan anak bongsu daripada dua beradik kepada pasangan Roshayati Bahmiri, 36, dan Baharom Bangal, 35. 

Anak yang berketurunan suku kaum Semai ini juga tergolong dalam Orang Kurang Upaya (OKU) yang mempunyai kecacatan pekak dan bisu. 

Kerana keunikan yang membuatkan ramai terpesona pada dirinya, dia sering diajak bergambar.

Menurut ibu, abang dan anak sulungnya, Rafizi, 14, juga memiliki warna biru namun pada sebelah mata sahaja. 

Memetik laporan Astro Awani, beliau menolak tanggapan orang ramai bahawa anugerah tersebut diperoleh hasil perkahwinan campur atau mempunyai keturunan yang bermata biru.

“Ramai yang bertanya adakah saya berkahwin dengan ‘mat saleh’ dan pelik dengan kurniaan mata seperti ini. Saya hanya menjawab dengan tenang bahawa ini adalah anugerah daripada Allah untuk kami sekeluarga,” kata wanita yang bekerja sebagai tukang bersih di sebuah sekolah di Perak.

Tambah beliau, Rafizal mula belajar bahasa isyarat ketika berusia sembilan tahun. Dia kini menetap di asrama Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Chemor, Ipoh.

Kongsinya lagi, anaknya itu memperoleh bantuan Kanak-Kanak (BKK) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM150 sebulan bagi meringankan bebannya untuk perbelanjaan melibatkan sekolah.

Sementara itu, guru kelas Rafizal, A. Tain Moli berkongsi bahawa kanak-kanak itu merupakan seorang pelajar cemerlang, bukan sahaja dalam bidang akademik, bahkan bidang sukan. Baru-baru ini, dia baru sahaja menyertai acara lontar peluru untuk Majlis Sukan-Sukan Daerah (MSSD).

“Walaupun dia mempunyai kekurangan untuk bercakap dan mendengar, Rafizal mahir menggunakan bahasa isyarat yang dipelajarinya. Kami kagum dengan kesungguhannya,” katanya.

Terdahulu, kisah mata biru Rafizal mula mendapat tumpuan selepas Facebook milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berkongsi hantaran mengenai kanak-kanak unik itu. Rata-rata, ramai netizen memuji keistimewaan dan kelebihan dimilikinya.


Sumber: [1]