Baru-baru ini, isteri kepada angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, iaitu Datin Dr Halina Yunos berkongsi cerita mengenai anak-anak mereka yang menaiki Transit Kereta Api Ringan (LRT) untuk pertama kali, sehingga membuat ramai wargamaya terhibur.
Coret Dr Harlina, semuanya bermula pada Jumaat lalu apabila mereka lapan beranak membuat keputusan untuk ‘outing’ dengan menaiki kenderaan awam itu dari rumah ke KLCC.
“Mereka (anak-anak) super excited dapat naik tren, kami tak tahu naik tren ini free sampai pertengahan Julai ini. Kami sampai KLCC hampir pukul 10 malam,” katanya menerusi entri di Instagram.
Dalam keterujaan itu, tambah beliau, salah seorang daripada anaknya iaitu Eusoff muntah di dalam tren tersebut.
Namun, apa yang membuatkan mereka terharu ialah keprihatinan orang Malaysia yang menghulurkan tisu basah kepada mereka.
“Habis semua baju, tapi rakyat Malaysia memang prihatin. Laju mereka hulurkan tisu basah dan sempat kami bersihkan sebelum ke hentian KLCC.
“Terima kasih kepada yang bagi tisu basah hari itu. Sampai KLCC elok pula keluar tren tu ada butik H&M. Jadi Eusoff dapat baju baru,” kongsinya.
Tidak ketinggalan, pasangan itu turut membawa anak-anak mereka berjalan di sekitar Taman KLCC untuk melihat air pancut yang merupakan antara tarikan utama di situ.
Tapi, apa yang melucukan, sebaik sahaja mereka selesai dan tiba di rumah, Dr Halina berkongsi bahawa anak-anak merayu untuk menaiki tren lagi.
“Anak-anak merayu nak naik lagi nanti. Mak dengan bapak macam sudah mahu pengsan. Cuba lagi tahun depan apabila mereka sudah besar,” katanya.
Sumber: [1]