Mahu Fokus Pada Keluarga, Aamir Khan Umum Cuti Selepas 35 Tahun Bekerja

Bintang terkenal Bollywood, Aamir Khan baru-baru ini berkongsi tentang karier dan perancangan untuk masa hadapannya. 

Amir Khan memutuskan bahawa dia akan mengambil cuti yang panjang dari dunia seni dan fokus untuk meluangkan masanya bersama keluarga tercinta. 

“Apabila saya bekerja sebagai pelakon filem, saya terlepas banyak perkara dalam hidup saya.

“Sepatutnya saya akan terbabit dengan sebuah karya selepas filem Laal Singh Chaddha selesai. Tajuknya Champions. Skrip sangat menarik dan ia sebuah naskah yang baik. Tapi saya memutuskan untuk berehat.

“Saya mahu menghabiskan masa bersama ibu, keluarga dan anak anak saya,” ujar Aamir Khan seperti dilaporkan Hindustan Times.

Bila menyebut tentang percutiannya,  Aamir Khan mengatakan yang ini adalah percutian pertamanya selepas 35 tahun bekerja. 

“Saya rasa telah bekerja tanpa henti selama 35 tahun dan hanya memberi fokus terhadap kerja selama ini.

“Saya rasa sikap ini tidak adil untuk orang terdekat saya. Jadi kali ini saya mahu menghabiskan masa bersama mereka dan melalui pengalaman hidup yang berbeza,” katanya lagi. 
 

Sumber: AWANI , Gempak