Selepas 19 tahun beraksi secara profesional, Wayne Rooney akhirnya mengumumkan persaraan daripada sukan itu.
Keputusan itu dibuat selepas Rooney ditawarkan jawatan sebagai pengurus tetap Derby County. Sebelum ini, dia bertindak sebagai pemain dan juga pengurus sementara pasukan liga kejuaraan itu sejak November tahun lalu.
Bakal berusia 36 tahun Oktober depan, Rooney telah memenangi segala-galanya di peringkat kelab.
5 gelaran Liga Perdana Inggeris, 1 Piala FA, 4 Piala Liga (sekarang Piala EFL), 1 Liga Europa, 1 Liga Juara-Juara dan 1 Piala Dunia Kelab.
Memulakan kariernya di Everton, nama Rooney mula jadi sebutan selepas dia berdepan Arsenal pada 2002. Rooney muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit akhir perlawanan tersebut untuk bantu Everton kalahkan The Gunners 2-1, sekaligus mengakhiri rekod tanpa kalah Arsenal dalam 30 perlawanan. Dia juga cipta sejarah apabila muncul penjaring termuda dalam saingan EPL.
2 tahun kemudian, Rooney sertai Manchester United dengan harga hampir 30 juta pound. Harga yang amat tinggi untuk pemain berusia 18 tahun. Tapi pada perlawanan pertamanya untuk United, Rooney meledak hatrik ketika United benam Fenerbahce 6-2 di Old Trafford dalam saingan Liga Juara-Juara. Dia merupakan pemain ke-5 termuda untuk menjaringkan hatrik dalam saingan itu dan pemain England paling muda berbuat demikian.
Ada 2 gol Rooney yang peminat Manchester United akan ingat sampai bila-bila. Yang pertama, volley ketika lawan Newcastle dan gol akrobatiknya ketika berdepan Manchester City, kedua-duanya di Old Trafford.
Rooney merupakan penjaring terbanyak untuk United dengan 253 gol, mengatasi legenda kelab itu, Sir Bobby Charlton dengan 4 gol dan berada di kedudukan ke-2 senarai penjaring terbanyak EPL dengan 208 gol di belakang seorang lagi legenda England, Alan Shearer yang miliki 260 gol. Untuk pasukan kebangsaan England pula, Rooney merupakan penjaring terbanyak dengan 53 gol juga mengatasi Bobby Charlton yang telah jaringkan 49 gol.
Nasib Rooney di peringkat antarabangsa kurang baik kerana gagal menjulang sebarang trofi. Peluang terbaiknya hadir pada EURO 2004 namun tersingkir pada peringkat suku akhir apabila tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Portugal. Antara perlawanan terbaik kejohanan itu.
Pada Piala Dunia 2006, Portugal sekali lagi mengecewakan England pada peringkat suku akhir menerusi penentuan sepakan penalti. Rooney pula dilayangkan kad merah pada perlawanan tersebut.
Pada 2017, Rooney sertai semula Everton selama semusim sebelum berhijrah ke MLS untuk beraksi dengan pasukan D.C United. Tahun lalu, Rooney kembali ke England untuk menyarung jersi Derby County.
Bermula daripada seorang remaja yang hanya ingin bermain bola sepak kepada antara penyerang yang disegani dunia kepada pengurus Derby County, Rooney telah harungi pahit manis kehidupan sebagai pemain bola sepak profesional.
Terima kasih Rooney kerana menghiburkan kami selama hampir 20 tahun. Terima kasih untuk semua kenangan. Semoga berjaya sebagai seorang pengurus selepas ini. Goodbye Wazza!
Oleh: Karami Kamel