Varian Omicron Kini Ditemui Di 23 Negara, Jumlah Dijangka Terus Meningkat

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan varian baru COVID-19 Omicron telah dikesan di 23 negara dan jumlah tersebut dijangka akan terus meningkat.

varian omicron kini ditemui di 23 negara, jumlah dijangka terus meningkat

Jelas Ketua Pengarah Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, WHO memandang serius kemunculan varian tersebut dan menggesa supaya setiap negara untuk berbuat perkara yang sama.

“Kemunculan varian Omicron telah menarik perhatian global. Sekurang-kurangnya 23 negara di lima daripada enam wilayah WHO kini telah melaporkan kes Omicron dan kami menjangkakan jumlah itu akan meningkat.

“WHO sangat mengambil serius perkembangan ini dan begitu juga sepatutnya setiap negara, tetapi ia tidak sepatutnya mengejutkan kita,” katanya.

Kenyataan tersebut dibuat selepas agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengkategorikan Omicron sebagai varian membimbangkan selepas didedahkan penyelidik di Afrika Selatan minggu lalu.

WHO turut menambah, larangan perjalanan akan memberi kesan kepada kerjasama global susulan kewujudan varian Omicron yang mana ia menyebabkan “cabaran” kepada perkongsian sampel makmal dari Afrika Selatan yang boleh membantu mendapatkan maklumat lebih baik pada varian baru itu.

Banyak negara telah mengambil keputusan untuk menangguhkan penerbangan dari tujuh negara Afrika Selatan.

Dr Tedros juga memberi nasihat bahawa larangan perjalanan “akan membebankan kehidupan dan mata pencarian”.

 

Sumber: [1]