Varian Delta Berkemungkinan Telah Merebak Ke Daerah Lain Di Kelantan

Terdapat kemungkinan bahawa varian Delta yang pada mulanya dikesan di Pasir Puteh telah merebak ke daerah lain di Kelantan. Perkara tersebut tidak dinafikan Jabatan Kesihatan Kelantan.

varian delta berkemungkinan telah merebak ke daerah lain di kelantan

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin, andaian tersebut dibuat susulan peningkatan kes COVID-19 yang berlaku di negeri Pantai Timur itu sejak kebelakangan ini.

Beliau turut mengaitkan peningkatan kes di Kelantan dengan tahap kepatuhan penduduk yang kian merendah.

“Disebabkan oleh virus yang berada dalam komuniti dan mungkin juga kita gagal mematuhi SOP yang ada menyebabkan berlaku kluster dalam komuniti, ditambah lagi di Kelantan trend peningkatan kes yang cepat dan meluas.

“Kita jangkakan varian Delta ini bukan sahaja berada di Pasir Puteh tetapi juga di tempat lain,” jelasnya.

Berikutan itu, Zaini turut mengatakan, berkemungkinan varian Delta telah merebak ke daerah seperti Tanah Merah dan Bachok.

Pada waktu ini, hanya satu kes dikesan sementara 74 sampel ujian lain masih belum diperoleh keputusannya.

Setakat Isnin lalu, lebih 120 kluster aktif dikesan di negeri tersebut dengan 16 daripadanya merupakan kluster baru termasuk kluster indeks melibatkan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang dikesan di Kampung Tok Junuh, Mahligai, Bachok.

 

Sumber: [1]