Vaksin Tidak Batalkan Puasa

Berikutan Ramadhan yang semakin mendekat, ramai yang menjadi tertanya-tanya sekiranya pengambilan vaksin mampu membatalkan puasa seseorang.

vaksin tidak batalkan puasa

Lantaran itu, Pejabat Mufti Singapura mengambil keputusan untuk menjelaskan berkenaan hal itu.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Mufti Singapura di laman Facebook mereka, pengambilan vaksin tidak membatalkan puasa.

Tulis Pejabat Mufti Singapura, “Vaksin tidak membatalkan puasa seseorang kerana ia tidak melalui rongga-rongga terbuka di badan kita.

“Ia juga bukan sejenis makanan atau minuman yang memberi khasiat serta tidak mengenyangkan mereka yang lapar atau meredakan rasa haus.”

Berkenaan ujian swab yang dilakukan menerusi rongga hidung pulang, terang Pejabat Mufti, ia merupakan satu ujian yang menentukan sekiranya seseorang itu merupakan pesakit COVID-19 atau tidak, dan bukannya makanan atau minuman yang boleh membatalkan puasa seseorang.

Oleh itu, terang pihak terbabit lagi, sekiranya seseorang itu perlu melakukannya, ia digalak untuk berbuat demikian bagi mengekang penyebaran virus selain melindungi kesejahteraan masyarakat.

Dalam pada itu, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir dari pejabat Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) berkata beliau berasa syukur kerana ramai masyarakat Islam di Singapura telah berkeputusan untuk terlibat dalam pengambilan vaksin.

Beliau juga berharap semangat tersebut akan terus kekal biarpun slot mereka ditetapkan pada bulan Ramadhan.

Ujarnya, “Ini kerana COVID-19 tidak mengenal bulan, semasa Ramadhan juga boleh berleluasa, atau berjangkit maka kita mendapat vaksin itu jauh lebih baik daripada kita menantikan selepas Ramadhan.”

 

Sumber: [1]