Proses vaksinasi yang diadakan di Medan, Indonesia pada Selasa minggu lalu berakhir dengan kekacauan apabila orang ramai bergegas memasuki tempat itu setelah menunggu berjam-jam.
Tercetusnya kejadian terbabit berikutan pihak penganjur yang dikatakan telah mengedar kesemua dos vaksin yang ada pada hari itu, sementara masih terdapat ratusan orang di luar pusat vaksinasi terlibat masih menunggu giliran mereka untuk menerima vaksin.
Dalam video yang sempat dirakamkan oleh salah seorang saksi kejadian, kelihatan orang ramai mula bergegas untuk menceroboh masuk ke dalam lokasi kemudahan sukan yang telah ditukarkan menjadi pusat vaksinasi itu, dalam usaha untuk mendapatkan suntikan, sekali gus mengabaikan panggilan pihak penganjur untuk menjaga jarak antara satu sama lain.
Akibat asakan orang ramai yang tidak henti-henti kerana ingin memasuki kemudahan tersebut, beberapa individu kemudian dilaporkan pengsan kerana dihimpit.
Difahamkan bahawa kebanyakan mereka yang berada di situ telah mendaftar sebelumnya bagi proses vaksinasi pada hari tersebut, namun kecewa kerana dimaklumkan pihak penganjur bahawa bekalan vaksin untuk mereka telah habis.
Salah seorang penerima vaksin bernama Tyas yang hadir pada hari itu mengatakan dia kecewa selepas mengetahui bekalan vaksin telah habis.
Tyas pada awalnya dijadualkan mendapat dosnya di Balai Polis Percut Sei Tuan di Medan, namun petugas di sana kemudian mengarahkannya untuk pergi ke pusat vaksinasi sementara.
Dia menyalahkan pihak penganjur kerana gagal mengutamakan orang yang telah mendaftar lebih awal untuk melakukan vaksinasi.
“Saya tidak menerima vaksin walaupun sudah lama menunggu, sementara itu banyak orang yang tidak mendaftar dilaporkan mendapat vaksin mereka,” katanya.
Susulan itu Ketua Polis Medan, Riko Sunarko mengatakan jumlah peserta yang ramai dalam proses vaksinasi itu menyebabkan pihak penganjur terkejut kerana mereka hanya menyediakan 4,000 dos vaksin pada hari kejadian.
“Kami sudah menentukan jumlah vaksin, namun keghairahan orang ramai terlalu tinggi,” jelasnya.
Tambahnya lagi, pihak penganjur telah mengedarkan 4,000 borang vaksinasi selaras dengan jumlah dos yang tersedia buat mereka yang ingin menerima suntikan vaksin pada hari terbabit.
Bagaimanapun, pihak polis kemudian menerima laporan bahawa borang-borang itu telah disalin dan dijual secara haram, sekali gus menjelaskan perihal mengapa lebih banyak orang muncul secara tiba-tiba pada hari itu.
Setakat Khamis lalu, seramai 22.2 juta penduduk Indonesia dilaporkan telah menerima dos vaksin kedua mereka.
Sumber: [1]