Tiada siapa menyangka Manchester United mampu tamatkan rekod kemenangan Manchester City iaitu 21 kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan. Mana tidaknya, skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer berdepan prestasi tidak konsisten apabila seri tanpa jaringan untuk 3 perlawanan terakhir mereka. Manchester City pula berada pada prestasi terbaik mencatat kemenangan demi kemenangan. Kali terakhir City tewas adalah pada November tahun lalu apabila tewas 0-2 kepada Tottenham.
Skuad kendalian Pep Guardiola memulakan perlawanan ‘derby’ dengan buruk. Ketika perlawanan baru berusia 30 saat, Gabriel Jesus menghadiahkan sepakan penalti kepada United apabila menjatuhkan Anthony Martial. Sepakan penalti tersebut disempurnakan oleh Bruno Fernandes.
Gol kedua United hadir pada awal babak kedua. Kira-kira 5 minit permainan memasuki babak kedua, Luke Shaw menggegar jaring City. Pemain pertahanan itu melepaskan rembatan leret dalam kotak penalti City untuk United selesa mendahului perlawanan. City terus mendominasi perlawanan namun penjaga gol United, Dean Henderson berjaya menghalang segala percubaan mereka.
Ini merupakan kekalahan ke-4 Guardiola kepada Solskjaer dalam kariernya sebagai pengurus. Guardiola telah berdepan seramai 67 pengurus sekurang-kurangnya 3 kali dalam kariernya dan Solskjaer merupakan satu-satunya pengurus yang berjaya meraih lebih banyak kemenangan daripada kekalahan. Solskjaer hanya tewas 3 kali ketika berdepan Guardiola.
Pengurus Manchester United itu memuji persembahan anak buahnya ekoran keputusan tersebut. Jelas Solskjaer, pemainnya bekerja keras dan berjaya menghalang City daripada menjaringkan sebarang gol. Solskjaer juga akui pasukannya kini lebih baik jika dibandingkan dengan musim lalu.
Kemenangan itu setidaknya memberikan semangat baru kepada United untuk terus bersaing merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris. The Red Devils kekal di tangga kedua, 11 mata di belakang City. Solskjaer turut beri jaminan bahawa pasukannya akan mengekalkan momentum ini sehingga hujung musim untuk beri tekanan kepada Manchester City.
Pemain tengah United, Bruno Fernandes pula laung amaran kepada City bahawa perebutan kejuaraan liga masih belum berakhir. Pemain kelahiran Portugal itu berkata saingan liga boleh diibaratkan sebagai marathon dan bukannya larian pecut. Pasukan yang berjaya mengekalkan momentum dan prestasi akan menjadi juara.
Kalau kita ingat, United berada di persada liga Januari lalu. Namun ekoran prestasi kurang konsisten dan ketumpulan barisan serangan, mereka keciciran banyak mata dan dipintas oleh City. Mungkin Fernandes cuma nak naikkan semangat rakan sepasukannya. Tapi kalau prestasi United lebih konsisten, pasti mereka tidak ketinggalan terlalu jauh dengan City kan?
Oleh: Karami Kamel