Tiada PKP Besar Besaran Akan Dijalankan

Kerajaan tidak akan menggunakan semula pendekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara besar-besaran seperti sebelum ini.

tiada pkp besar besaran akan dijalankan

Perkara tersebut didedahkan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mana menurutnya, kerajaan bagaimanapun tidak menolak untuk mengambil langkah lebih ketat ekoran penularan varian Omicron.

Jelasnya, langkah lebih ketat itu termasuk menyekat pergerakan keluar dan masuk dari lebih banyak negara jika negara berkenaan didapati berisiko tinggi.

“Mengambil kira pembentangan oleh Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin sebentar tadi, setakat ini sebanyak 245 kes Omicron telah disahkan di Malaysia.

“Sebahagian besar kes jangkitan varian ini di negara kita masih lagi berpunca daripada kepulangan pengembara dari luar negara.

“Kerajaan tidak menolak untuk mengambil langkah lebih ketat termasuk menyekat pergerakan keluar dan masuk dari lebih banyak negara jika negara berkenaan didapati berisiko tinggi.

“Namun penting juga untuk saya tegaskan, pendekatan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara besar-besaran seperti sebelum ini tidak akan dilaksanakan semula,” katanya.

Terangnya, keputusan tersebut adalah sebahagian daripada usaha bersiap sedia bagi memasuki transisi ke fasa endemik.

Namun beliau memberitahu bahawa pengumuman mengenai transisi berkenaan terpaksa ditangguhkan berikutan kerajaan kini sedang memantau penularan varian Omicron dan bencana banjir yang melanda beberapa buah negeri baru-baru ini.

 

Sumber: [1]