Setelah mengumumkan untuk mengundurkan daripada program Running Man pada April lalu, Lee Kwang Soo akhirnya kembali ke set untuk menjalankan penggambaran untuk rakaman episod-episod terakhirnya bersama program tersebut.
Menerusi episod terbaru program tersebut yang baru sahaja disiarkan pada 30 Mei, kesemua barisan Running Man dilihat tidak putus-putus mengenakan rakan sekerja mereka itu.
Menurut satu artikel yang dikeluarkan Soompi, terdapat satu adegan dalam episod terbabit yang mana Yang Se Chan, Yoo Jae Suk dan Song Ji Hyo mempersoalkan mengenai keputusannya untuk meninggalkan rancangan tersebut.
Kemudian muncul pula Kim Jong Kook dan HaHa yang ‘mengusik’ Lee Kwang Soo.
Kim Jong Kook sempat bergurau dengan mengatakan, “Adakah anda sengaja menumbuhkan misai di wajah anda untuk membuatkan diri anda seolah-olah mengalami kesulitan setelah berundur dari Running Man?”
Lee Kwang Soo dengan gelagat mencuit hatinya seperti biasa kemudian segera meminta alat pencukur daripada staf produksi.
Difahamkan bahawa episod tersebut merupakan yang pertama dirakamkan barisan Running Man setelah berita mengenai pengunduran Lee Kwang Soo tersebar luas pada April lalu.
Terdahulu, Lee Kwang Soo menyatakan bahawa dia akan meninggalkan program tersebut setelah 11 tahun untuk meletakkan fokus pada pemulihan kesihatannya berikutan kecederaan yang dialaminya akibat kemalangan pada tahun lalu.
Sejak episod awal Running Man, Lee Kwang Soo merupakan antara tonggak utama rancangan tersebut yang sentiasa dinanti-nantikan peminat setia program tersebut.
Sumber: [1]