Thailand Wujud 'Hospitel', Terima Rawatan Di Samping Keluarga

Negara jiran, Thailand mewujudkan hospitel, iaitu gabungan hospital dan hotel, yang berkonsepkan ‘family healing’ bagi memastikan pesakit menerima rawatan dengan selesa di samping keluarga selain mempercepatkan proses pemulihan.

thailand wujud 'hospitel', terima rawatan di samping keluarga

Ia berikutan lonjakan kes COVID-19 yang berlaku di negara tersebut baru-baru ini sehingga menyebabkan empat wilayah selatan iaitu, Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla kekurangan katil di hospital.

Bagi menumpang jumlah pesakit yang ramai khususnya dalam kalangan mereka daripada satu keluarga, Hospital Siroros di Pattani dengan kerjasama Hotel Park Intown dan Hotel Rainbow Mansion dengan menukarkan hotel sebagai hospital sementara.

“Bilik khas untuk satu keluarga ini memudahkan pemantauan dan pada masa yang sama ia mewujudkan satu suasana yang lebih selesa kepada pesakit untuk menerima rawatan.

“Selain itu, apabila pesakit COVID-19 bersama ahli keluarga masing-masing, ia menjadi penguat semangat untuk melawan virus itu. Konsep family care dan family healing ini dapat mempercepatkan proses pemulihan pesakit,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Hospital Siroros Dr Abdul Qadir Yusuf.

Tambah beliau, pihak hospital turut membenarkan dua ahli keluarga (yang positif COVID-19) untuk menjaga pesakit kategori 4 dan 5.

Seorang pesakit COVID-19 iaitu Hama Chekteh, 62, yang ditempatkan di Hospital Siroros di Yala bersama isteri dan tiga anak perempuannya, melahirkan perasaan syukur selepas menerima rawatan bersama ahli keluarganya.

“Ketika menerima rawatan di ‘hospitel’ khas, anak-anak sentiasa memeriksa suhu badan dan tahap oksigen. Mereka terus memberi kata-kata semangat dan perasaan gelisah dan risau terus hilang,” katanya.

 

Sumber: [1]